11/09/2023
Rumah saya di Terengganu ni, tepi jalan besar. 2 hari lepas riuh dengan bunyi motor. Breng breng breng.
Syukur bukan bunyi prengggg prengggg orang merempit. Setakat bunyi motor lalu lalang tak kira masa, saya okey saja.
Faham, negeri Terengganu sedang dibanjiri beribu rider motor RXZ dan motor-motor lain dari seluruh negara. Jadi, kami raikan saja.
Ini bukan kali pertama pun, dah kali kelima!
Kebanyakan kami dah terima, ini antara cara kerajaan negeri makmurkan ekonomi negeri.
Walaupun bukan cuti sekolah, alhamdulillah event ini sekali lagi berjaya buat homestay penuh, kedai-kedai makan meriah, peniaga kecil juga beroleh keuntungan berganda daripada biasa.
Paling menguatkan semangat kami, sebab kami faham sebenarnya ini juga cara kerajaan negeri mendekati dan meraikan golongan muda, membawa para rider kepada ulama dan majlis agama.
Bahagia melihat ceramah Ustaz Azhar Idrus dan asatizah lain dibanjiri mereka! Kehadiran di masjid pun luar biasa. Siang atau malam ... melimpah puak-puak mereka!
Ya, kami faham niat murni penganjur. So, walaupun kadang serabut juga dengan bunyi motor sana sini, jem sana sini, tapi kami terima situasi ini dan kami okey saja.
Jadi kalau tak ada urusan, kami dok rumah saja diam-diam. Tak nak tambah sesakkan jalan. Saja bagi orang luar explore negeri ini, seperti mana yang biasa kami buat apabila tiba musim cuti sekolah di mana Terengganu memang akan dibanjiri orang luar.
Lagi pun, kali ini riuh bunyi motor hanya 2 hari saja. Bukannya kami tak boleh sabar. Bagi chance lah!
Bahkan jujurnya, jauh di sudut hati saya sendiri, bangga menyambut kedatangan mereka. Orang datang cara baik, kita sambut dengan baik.
Seperti saya kata tadi, ini bukan kali pertama, dah kali kelima! Bukan benda baru pun.
Dan sebelum-sebelum ini, tak berlaku lagi sebarang tragedi yang pelik-pelik. Kalau setakat kecurian motor atau accident, jumlahnya terlalu kecil. Kejadian begitu di mana-mana event atau negeri lain pun ada. So, tak jadi isu pun.
Pendek kata, pada tahun-tahun sebelum ini, program berlangsung dan berakhir baik-baik saja.
Seronok para rider dapat pusing-pusing Terengganu, bergambar di Drawbridge, nikmati keindahan pantai Terengganu, makan keropok lekor, nasi dagang, shopping di Pasar Payang.
Tapi tahun ini, kecoh jadinya apabila ada operasi 'pukat besar-besaran'.
Saya sendiri terkejut apabila asyik bertembung roadblock. Jalan jadi jem. Terkejut bertembung lori angkut motor-motor RXZ yang disita.
Paling pedih, rupa-rupanya bukan setakat roadblock, bahkan sampai ke tempat event pun polis dah berderet menunggu!
Faham tak perasaan para tetamu ini? Datang jauh-jauh, tiba-tiba rasa macam terperangkap!
Kita kalau jumpa roadblock, rasa apa? Berdebar, tak selesa.
Even kalau tak buat salah pun tetap rasa berdebar, rasa tak selesa! Betul kan?
Itulah yang para tetamu ini rasa, sangat terganggu! Apatah lagi, apabila ia terpaksa dilalui berkali-kali.
Betul, yang salah tetap salah. Tapi bagi saya, cara yang dibuat ini sangat tidak berhikmah!
Ini cara nak educate masyarakat atau ambil kesempatan nak naikkan duit kutipan saman?
Educate manusia lebih berkesan daripada saman, saman dan saman. Kita kena ajar masyarakat sayang nyawa, educate sampai mereka faham tentang isu keselamatan, bukan didik mereka takut polis, takut kena saman.
Kalau mereka dah well educate, beban jadi kurang. Kalau mereka dah faham ... sama ada pihak penguasa ada atau tak ada, mereka tetap patuh pada peraturan.
Ini yang perlu difahami.
Sebab tu saya setuju dengan tulisan Cikgu Mohd Fadli Salleh sepatutnya PDRM, JPJ ambil peluang involve dalam program dua hari ini, untuk buka booth, ambil slot untuk dekati golongan ini, educate mereka.
Rapatkanlah hubungan dengan masyarakat. Bukan rosakkan mood program bermanfaat anjuran kerajaan negeri ini dengan operasi pasang 'pukat'!
Sungguh, sejak 5 tahun program ini diadakan, kali ini kami sendiri terkejut apabila mood program dirosakkan dengan pemeriksaan besar-besaran ... terkejut lihat pihak penguasa angkut motor para tetamu jauh ini atas alasan konon tak penuhi spesifikasi itu ini ... yang kadang setakat plat nombor kecil ... yang bukanlah 'dosa besar' sangat pun!
Sebenarnya, saya sebak. Tonton video mereka dihambat polis dan JPJ, ada yang bertempiaran lari, tengok p**a ada motor yang diangkut naik lori ... Allah!
Kasihan para tetamu kami yang motornya dirampas, di mana mereka ketika ini?
Sebak!
Kenapa ya, program bermanfaat seperti ini, ceramah-ceramah agama mudah kena ganggu atas alasan ini, alasan itu?
Kenapa konsert dan program hiburan yang telah nyata dosa dan lebih besar mudaratnya mudah dilepaskan begitu saja?
Kenapa taat sangat pada peraturan buatan manusia sedangkan peraturan yang Allah tetapkan dipandang sambil lewa?
Antara mudarat kecil dan mudarat besar, memang ada pihak yang tak faham bahawa ada autoriti sebenar yang telah dilanggar!
Yang salah tetap salah, namun itulah yang saya katakan, penangkapan ini langsung tidak berhikmah. Ia bahkan menimbulkan kebencian dan pemberontakan.
Belajarlah cara Ustaz Azhar Idrus membawa anak muda mendekati agama. Beliau faham fikrah anak muda, tahu 'main angin' anak muda, bukan membabi buta guna kuasa!
Ya Allah, baru nak happy-happy layan hobi sambil dekatkan diri pada agama, dah kena spoil dengan pihak penguasa!
Bukan mudah nak lentur anak muda dan cenderungkan mereka pada agama ya!
Sebab tu, saya sedih ketika ada yang bersungguh berusaha, ada pihak yang sanggup merosakkannya semudah itu saja.
Saya doakan semua rider tetamu kami semua telah selamat kembali kepada keluarga masing-masing.
Dan kepada para pemilik RXZ yang disita, saya doakan Allah permudahkan urusan kalian semua.
Insya-Allah, walaupun teruji seperti ini, saya percaya kerajaan negeri Terengganu akan tetap meneruskan usaha-usaha mendekati anak muda dan membawa mereka mendekati agama.
Semoga Allah jaga dan permudahkan.
FB : Bonda Nor