14/03/2022
SIAP SEDIA HADAPI MONSUN BERMULA HARI INI
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutama penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun.
Ketua Pengarahnya Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dalam kenyataan berkata fasa tersebut yang dijangka bermula esok (14 Mac) dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Beliau berkata situasi itu boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.
"Sebagai persiapan, JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya berfungsi dengan baik termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.
"Orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang," katanya.
Selain itu Md Nasir berkata JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) bagi meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat dan orang ramai bersiap menghadapi banjir yang kini telah pun beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Pada Jumaat lepas, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menyatakan Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula esok hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 Nov lepas.
Muhammad Helmi berkata semasa fasa itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Maklumat lanjut mengenai hebahan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh melalui laman sesawang Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my atau memuat turun aplikasi mobile apps, MyPublicInfoBanjir.
- Bernama