30/04/2021
▪️FADHILAT SURAH AL MULK▪️
Satu surah di dalam al-Quran sekiranya ia diamalkan, maka orang yang membacanya, apatah lagi dapat menghafaznya akan terlepas daripada azab kubur.
Ia adalah Surah Al-Mulk yang mengandungi 30 ayat. Surah itu juga disebut sebagai At Tabaarak yang bermakna Maha Suci.
Sebab itu, Nabi SAW menyarankan umatnya supaya tidak meninggalkan bacaan al-Quran pada setiap hari.
Hati orang yang membaca al-Quran akan sentiasa tenang, dijauhi daripada bisikan syaitan serta dirinya turut dihormati.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.”
( H.Riwayat Abu Dawud, Ahmad,at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad )
ANTARA AZAB KUBUR ITU ....
Didatangkan kepada manusia dua malaikat yang sangat bengis iaitu Munkar dan Nakir.
Sekiranya manusia melihat wajah malaikat azab itu mereka akan pengsan. Di tangannya ada besi penukul dan apabila dihayun tukul itu, nescaya akan hancur semua gunung yang ada di atas muka bumi ini.
Bagaimanapun, bagi mereka yang menjadikan Surah Al-Mulk sebagai bacaan harian, di kubur kelak ia akan menjadi penghalang pengamalnya daripada diseksa.
Di dalam kubur, orang yang meninggal dunia akan didatangi malaikat azab bermula di kakinya untuk memberi hukuman.
Saidina ‘Abdullah bin Abbas berkata:
“Sesiapa membaca surah Al-Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada Surah Al-Mulk.”
Sekiranya seseorang itu selamat daripada seksaan di alam barzakh, dia juga selamat untuk menghadapi permulaan akhirat yang lebih besar dan dahsyat.
Jika seseorang itu sudah menerima seksaan di alam barzakh, maka sudah pasti dia juga tidak akan selamat menghadapi kecelakaan lebih besar menunggunya selepas itu.
Maka, Nabi SAW mengajarkan kita beberapa cara untuk selamat dan selesa ketika berada di alam barzakh, antaranya membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam.
Sebelum tidur, pastikan kita ambil sedikit masa untuk membaca Surah Al-Mulk. Dengan harapan apabila biasa melazimi bacaan Surah Al-Mulk dan ditakdirkan kita meninggal dunia, Allah SWT akan mengampuni segala dosa serta mengharumkan perkuburan kita menjadi sebahagian taman daripada taman syurga.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah.
( H.Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Darimi )
Setiap orang beriman tidak boleh memandang ringan perihal di alam barzakh yang bakal mereka lalui satu masa nanti.
Persediaan itu wajib dilakukan. Jaga setiap tingkah laku serta pertuturan seharian kita supaya terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk.
Abu Darda berkata : -
“Tiga perkara yang membuat aku ketawa dan menyebabkan aku menangis. Tiga perkara itu ialah orang yang mengejar dunia padahal kematian sedang mengejarnya, individu yang ketawa terbahak-bahak, tetapi dia tidak tahu adakah Tuhannya reda kepada-nya atau memurkainya dan individu yang lalai padahal Allah tidak pernah lalai kepadanya.”
RASULULLAH SAW JUGA MENGAJAR UNTUK MENGAMALKAN satu DOA BAGI MEMOHON PERLINDUNGAN DAN AZAB KUBUR
Iaitu : -
“Allahumma inni a’uzu bika minal ‘ajzi wal kasali wal jubni wal harami wal bukhli, wa’auzu bika min ‘azabil qabri wa ‘auzu bika minfitnatil mahya walmamati”
BERMAKSUD :-
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, malas, penakut, pelupa, bakhil dan aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan fitnah hidup dan mati.”
( Hadis Riwayat Muslim )
SUMBER DARI : - FADHILAH 'AMAL
" Fadhilat Surah Al Mulk "
terima kasih semua...
Semoga Bermanfaat...