Sedia terima pelancong 2026
#SANDAKAN – JANGAN salahkan kementerian pelancongan jika tiba-tiba ramai pelancong datang ke Sandakan, tapi penggiat pelancongan masih belum sedia terima kedatangan mereka.
Demikian tegas Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew kepada penggiat pelancongan di daerah ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Menurutnya, penggiat pelancongan perlu bersedia dari segala aspek termasuk jika menerima kemasukan pelancong yang ramai kesan daripada promosi TMM 2026.
.
.
MOTAC meletakkan sasaran ketibaan 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan kemampuan menjana nilai sebanyak RM147.1 bilion pada TMM 2026.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Peluncuran Kempen TMM 2026 di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini.
Anwar berkata, walaupun sasaran berkenaan tinggi, namun ia tidak mustahil untuk diraih kerana nilai tersebut adalah realistik.
-- Nation Times
Mem Umie Jalan Jalan Majlis Perbandaran Sandakan-Rasmi Tourism Malaysia Sabah Tourism
YB Hamsan meninggal dunia
#KOTAKINABALU - AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) N52 Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain meninggal dunia jam 11.20 malam tadi di sebuah hospital swasta, di sini.
Berita duka itu diperoleh daripada ahli keluarga terdekat arwah lewat malam tadi.
Difahamkan, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Negeri dan akan tiba di Sandakan pada hari ini.
"Sesampai di Sandakan, jenazah akan terus dibawa ke rumah Allahyarham di Taman Kong Lok.
"Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Pengiran Galpam, Batu 7.
"Sahabat handai bolehlah menziarahi Allahyarham buat kali terakhir di Masjid Pengiran Galpam," kata sumber terdekat keluarga arwah.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru, Rancangan Sungai Manila bersebelahan dengan pusara adik Allahyarham sebelum waktu Zuhur.
Semalam, berita mengenai pemergian bekas Pembantu Menteri II, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu sudah mula tular walaupun keadaannya ketika itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.
Malah, Tuan Yang Terutama, Tun Musa Aman sempat menziarahi arwah di wad hospital sebelum dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir.
Hamsan menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga sejak tahun 2020 selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 dengan majoriti 1,538 undi.
Nation Times
Tun Musa lawat Hamsan
#KOTAKINABALU - TUAN Yang Terutama (TYT), Tun Musa Aman menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N52 Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain di wad sebuah hospital swasta di sini, hari ini.
Menerusi gambar yang dikongsikan kepada Nation Times memperlihatkan Musa seakan berinteraksi dengan Hamsan yang kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Semalam, tular beberapa status WhatsApp yang mendakwa Pembantu Menteri II, Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu telah meninggal dunia.
Namun, perkara itu disangkal bekas pegawai khas beliau yang mengatakan wakil rakyat berkenaan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.
#KEMASKINI
YB Hamsan masih hidup
#SANDAKAN - TULAR beberapa 'status WhatsApp' mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N52 Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain 'meninggal dunia' petang tadi.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal bekas pegawai khas beliau yang menjelaskan sebaliknya Hamsan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
"Datuk belum meninggal lagi.
"Setakat jam 7.30 malam tadi, Datuk masih berada di dalam ICU hospital itu," katanya ketika dihubungi Nation Times sebentar tadi.
Maklumat lain turut memaklumkan keadaan Pembantu Menteri II, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu sedang kritikal namun masih menerima rawatan.
Terdahulu, tular status WhatsApp daripada ketua bahagian sebuah parti politik di Sandakan yang mengatakan wakil rakyat berkenaan telah meninggal dunia dan meminta orang ramai menyedekahkan doa dan bacaan al Fatihah.
"Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan Kepada Semua ADUN 52 Sungai Sibuga YB Datuk Hj. Hamsan bin hj. Awang supian telah kembali kerahmatullah petang ini di hospital KPJ kota Kinabalu .
"Marilah kita sama sama mendoakan agar roh allahyarham di cucuri rahmat dan diletakkan bersama roh orang beriman. Al Fatihah," kata status tersebut.
Menerusi status lain, ada yang meminta agar disedekahkan doa kepada wak rakyat itu kerana didakwa telah meninggal dunia.
"Al Fatihah Buat Allahyarham Datuk Haji Hamsan Bin Haji Awang Supain rif Mohon sedekah kan Utk Arwah," katanya.
.
.
Maklumat lanjut berhubung tahap kesihatan dan keadaan ADUN Sungai Sibuga ini akan dikemaskini.
80 rumah musnah terbakar
#TAWAU - DIANGGARKAN 80 deretan rumah atas air di Kampung Sri Aman, Batu 3, Jalan Apas di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah memaklumkan telah menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.46 pagi sebelum 44 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama dua jentera FRT, EMRS, Water Tanker digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi itu turut dibantu empat anggota BBP Kunak, tiga anggota Unit Drone dan tujuh anggota Bomba Komuniti Titingan.
"Kebakaran melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal dengan anggaran 80 buah rumah musnah terbakar 100 peratus.
"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki, tiga pancutan dan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba.
"Terdapat tiga orang mangsa terlibat mengalami sesak nafas diberi rawatan awal dilokasi oleh pasukan EMRS Bomba," katanya.
Maklumat berhubung kejadian itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-- Nation Times
Rumah teres 2 tingkat musnah
#SANDAKAN - SEBUAH rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran yang berlaku di Taman Rajawali, Lorong 17, Batu 7, di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang menerima panggilan kecemasan MERS999 jam 6.28 pagi bergegas ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Ketua Balai, PKPgB Severinus@ Mohd Nidzam Sainkui menerusi laporan awal memaklumkan seramai 16 anggota digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal yang berkeluasan 15x30 kaki terbakar 100 peratus.
"Pasukan bomba menjalankan pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki, tiga pancutan dan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 7.03 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 8.01 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut diteruskan oleh pihak berkuasa.
-- Nation Times
Wanita maut jatuh bangunan
#SANDAKAN - SEORANG wanita maut dipercayai terjatuh dari bangunan Blok A, Residensi Borneo Cove, Jalan Buli Sim Sim di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa merupakan wanita warga tempatan berusia 47 tahun.
"Polis menerima maklumat berhubung kejadian orang terjatuh dari bangunan berkenaan kira-kira jam 8 malam.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 47 tahun, berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui bersamanya," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, mangsa dipercayai jatuh dari aras yang tinggi di bangunan Blok A berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman tersebut.
Katanya, nangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan kaki.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.
"Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," ujarnya.
Tambah beliau, mangsa merupakan orang dari luar dan bukan penduduk di kediaman bertingkat itu.
-- Nation Times
Lelaki mengamuk guna parang, tukul
#SANDAKAN - SEKURANG-KURANGNYA dua lelaki dan tiga wanita cedera dalam insiden amukan bersenjata seorang lelaki di sebuah restoran di Batu 3, di sini pagi tadi.
Kejadian jam 9.11 pagi itu melibatkan suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengamuk sambil memegang parang dan tukul lalu memasuki restoran di kawasan terbabit seterusnya mencederakan mangsa yang berusia lingkungan 34 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek dalam satu kenyataan awal mengesahkan kejadian itu.
"Sejurus menerima panggilan pihak peronda telah ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek dan mententeramkan keadaan.
"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul telah datang ke kedai makan dengan tiba tiba menyerang mangsa yang berada di dalam restoran tersebut," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita telah dirawat di Hospital Duchess Of Kent dan dalam keadaan stabil.
Katanya, suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan.
Ujarnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis berterima kasih atas maklumat awal diberikan berkaitan kejadian berkenaan.
Rakaman insiden mencemaskan itu tular di media sosial sejak pagi dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Terdapat beberapa versi rakaman berdurasi antara 17 saat hingga 1 minit 31 saat tersebar sehingga paparan suspek di tahan di atas jalan raya dekat persimpangan Jalan Bomba.
-- Nation Times
3 lelaki mati lemas
#KOTAKINABALU - KEGEMBIRAAN beberapa pengunjung bermandi manda di Pantai Bundusan, Papar di sini, dikejutkan dengan tragedi pilu apabila dua lelaki ditemui mati lemas manakala seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang.
Seorang mangsa yang telah ditemui merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang remaja 14 tahun, sementara seorang lagi lelaki berusia 48 tahun belum ditemui.
Kejadian itu berlaku di Pantai Bundusan, Kampung Bundusan, Papar di sini, lewat petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan seorang mangsa telah ditemui oleh orang awam dan seorang lagi ditemui jam 6.56 petang tadi setelah jasadnya terdampar di tepi pantai.
"Pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk seorang lagi mangsa yang masih hilang.
"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.
Menurutnya, laporan awal berhubung kejadian itu diterima jam 5.38 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar digerakkan ke lokasi kejadian.
Ujarnya, kejadian itu pada awalnya melibatkan empat orang mangsa di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terselamat daripada menjadi mangsa lemas.
-- Nation Times
Musa Aman TYT baru
#KUALALUMPUR - BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan itu kepada Musa dan dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Musa, 73, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dilantik bagi menggantikan TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.
Musa menjadi Ketua Menteri Sabah paling lama bermula pada 2003 hingga 2018, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini.
-- Nation Times
#SANDAKAN - PELUMBA Drag Battle warga Brunei disahkan maut setelah terlibat kemalangan ketika berlumba di Litar Sandakan Turf Club, Batu 5, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy dalam kenyataan memaklumkan mangsa dikenali sebagai Abang Adib Abang Ali, 36, yang memandu kenderaan jenis Honda maut dalam kemalangan tersebut.
"Siasatan awal polis mendapati pada masa kejadian kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan setelah melepasi garisan penamat dan terbabas ke kiri litar perlumbaan," katanya.
Sumber : Unit Berita RTM Sandakan
#SANDAKANfm #SVK
Buaya ditangkap
#SANDAKAN - SEEKOR buaya yang dipercayai telah membaham seorang lelaki di pinggiran Kampung Melayu, Batu 8 di sini, berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan petang tadi.
Difahamkan tangkapan dibuat bersama pasukan polis di lokasi di mana kejadian seorang lelaki berusia lingkungan awal 30 an maut dipercayai dibaham buaya malam tadi.
Nation Times turut diberitahu buaya terbabit hanya seekor daripada tiga ekor buaya yang pernah dilihat di kawasan perkampungan tersebut.
Menerusi beberapa klip video yang dihantar kepada Nation Times dapat dilihat beberapa orang sedang berlari sambil menarik buaya yang telah diikat dan tertupup pada bahagian mulut.
Tindakan pihak berkuasa itu disaksikan penduduk setempat yang sedikit lega dengan penangkapan buaya terbabit.
.
.
Berita penuh menyusul di Nation Times