26/08/2023
Semalam dalam jam 6 petang, kami ke Taman Permainan Outdoor bawa anak-anak, depan mata saya ada dua beradik, sorang duduk je atas kerusi batu, dua kaki diangkat dan lutut rapat ke dada, tengok orang bermain, selang seli dia menoleh AYAHnya di kerusi batu sebelah leka dengan PHONE.
Wajahnya anak ni sayu sekali, adik perempuannya di buaian, juga tak berayun sambil tengok kami melayan anak-anak. Keduanya lingkungan umur darjah 1 dan 2. Mungkin si AYAH main game atau layan apa, daripada awal kami sampai, hingga balik langsung tak tengok sekeliling termasuk anak-anaknya, kecuali screen telefon yang dipegang melintang dan jari tak berhenti bergerak, penuh tumpuan, betul-betul dalam dunianya.
Saya pun mendekati si anak lelaki dan bertanya nama, susah nak respon, namun akhirnya jawab juga, lalu saya ajak main sama, terus dia menuju ke buaian sebelah adiknya, yang memang kosong. Saya bertanya nama si adik p**a, keduanya comel, bercakap dengan perlahan dan sopan.
Saya pun sambung bermain dengan Fatimah dan Hana yang memang berebut minta dilayan, tapi anak mata saya tetap pandang dua beradik itu, juga duk pandang sambil senyum dengan pelbagai aksi kebudakan kami.
Saya tak tunggu lama, entahlah, sedihlah tengok kanak-kanak yang macam lonely, saya pun pergi ke arah dua anak ni dan cakap “meh aunty hayunkan untuk kamu dua, nak tak..”
Keduanya angguk senyum ceria, sayapun hayun buaian hingga mereka boleh ketawa dan bersuara.
Kawan saya yang melihat situasi tersebut berkata, “kak asma ni tak cukup kerja ni, sampai anak orang pun nak dilayan”.
Ketika tu saya menahan diri lagi, sebenarnya geram sangat pada si AYAH tu, semua ni berlaku depan dia, kerusi batu yang membatukan dia dengan PHONE.
Tiba-tiba si Ayah buat isyarat ajak balik kepada anaknya, keduanya pun ikut je, ya Allah baik sangat tak banyak soal dan ragam.
Otw ke kereta, kedua beradik tu lambai-lambai tangan ke arah saya, sampailah dia dalam kereta, keduanya masih melambai-lambai senyum.
Daripada dulu, memang selalu tengok pemandangan ni di Taman Permainan, kadang di Restoran. IBU AYAH sibuk dengan PHONE, anak dibiarkan layan emosi dan buat hal sendiri, bila ada yang tak kena terus kena marah. Geramnya rasa nak gi menegur IBU AYAH tu.
Sekarang musim cuti sekolah, ramai bawa anak-anak pergi berjalan. Betul ke anak anak happy dan dapat bonding time dengan IBU AYAH ?, atau sebenarnya lebih kepada kehendak IBU AYAH yang nak berjalan.
Wahai Ibu Ayah, tolonglah beri perhatian seikhlas dan sepenuh hati saat anak bersama dengan kita. Waktu berlalu dengan pantas, dan ketika itu kita tidak mahu melalui hidup dengan penyesalan.
Copy drp posting (Ustazah Asma Harun..)
Asma binti Harun
Ibu Anak 7