01/03/2021
Larry Sng: Katak Terhebat Sarawak
Sah, Larry Sng telah mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak dan memberikan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Bin Md Yasin (Nama sebenar). Sng, bersama seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu Steven Choong memberikan surat sokongan kepada Mahiaddin Yasin pada 28 Februari 2021. Tindakan Larry ini bukanlah suatu yang mengejutkan kerana beliau sememangnya terkenal dengan tindakan mengatak. Kalau Sabah ada Kitingan, Sarawak ada Larry Sng.
Siapakah Larry Sng?
Larry Sng Wei Shien merupakan anak kepada Sng Chee Hua, seorang ahli politik dan ahli perniagaan Sarawak. Larry dilahirkan pada 14 September 1979. Untuk mengenali siapa Larry Sng, kita kena tahu serba sedikit tentang bapanya dahulu. Sng Chee Hua adalah MP Julau dari 1995 hingga 1999, dan ADUN Pelagus untuk dua penggal dari tahun 1991 sehingga 2001. Seperti Larry, bapanya juga seringkali bertukar-tukar parti politik sepanjang karier politiknya.
Karier Politik Awal Larry Sng
Karier politik Larry bermula apabila beliau menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada tahun 2001. Eh, Larry berbangsa Cina, tetapi kenapa sertai parti Dayak? Meskipun berbangsa Cina, Larry (dan bapanya) mahir berbahasa Iban dan dibesarkan di kawasan majoriti Iban.
Pada 2001, Larry telah dipilih untuk menjadi calon Pelagus, menggantikan ayahnya dan memenangi kerusi tersebut. Dibawah pentadbiran Taib Mahmud, Larry dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri. Suatu pencapaian yang hebat pada ketika itu. Ada gossip yang mengatakan bahawa Larry adalah ‘Anak Emas’ Taib Mahmud.
Lompatan Pertama Larry Sng
Pada sekitar tahun 2004, PBDS mengalami krisis kepimpinan parti apabila James Jemut Masing enggan mengaku kalah dalam pemilihan presiden PBDS dan menentang arahan presiden parti ketika itu, Daniel Tajem. Ketegangan ini telah menyebabkan Jemut Masing dipecat dari PBDS dan James menubuhkan parti baharu iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS). James tidak pergi bersendirian. Beliau telah membawa beberapa ADUN PBDS bersamanya termasuk Larry Sng.
Side note: Bapa Larry juga bertanggungjawab dalam pembubaran PBDS kerana bersekongkol dengan Masing dalam menubuhkan PRS. So, thanks James & Sng sebab musnahkan parti Dayak!
Dipecat dari Parti Rakyat Sarawak
Mimpi indah Larry bersama PRS tidak lama apabila berlaku perselisihan faham diantara James Jemut Masing dan Larry Sng dalam kepimpinan parti. Larry dipecat dari PRS pada tahun 2007 kerana tidak mengikuti arahan parti. Meskipun tanpa parti, Larry telah diberikan jawatan tambahan dalam kabinet Taib Mahmud ketika itu. Mungkin itulah cara Taib memberikan ucapan ‘terima kasih’ atas kerja bagus Larry kot. Akan tetapi, Larry bagaimanapun tidak dipilih menjadi calon Pelagus semula pada PRN 2011. Walau tidak menjadi wakil rakyat, Larry tetap memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri pimpinan Taib Mahmud.
Larry dan Sarawak Worker Party (SWP)
Larry seterusnya menyertai Sarawak Worker Party (SWP) yang ditubuhkan pada 2013 dan menjadi presiden parti tersebut. Larry mencuba nasib dengan menjadi calon pilihan raya pada PRU 2013 sebagai calon Lubok Antu. Namun, Larry gagal memenangi kerusi tersebut. Kisah Larry dan SWP tidak panjang apabila Larry meletak jawatan pada 2016.Akan tetapi, ini bukanlah pengakhiran karier politik Larry.
Kemenangan Mengejut di Julau
Pada PRU 2018, Larry mengejutkan semua orang apabila berjaya menumpaskan Joseph Salang di Julau dengan memenangi 1000 undi majoriti. Joseph Salang merupakan penyandang kerusi Julau selama 4 penggal sejak dari tahun 1999! Namun, kemenangan ini tidak sah tanpa sebarang gossip. Larry dikatakan menggunakan ‘politik wang’ untuk memenangi kerusi tersebut. Namun, semua itu hanyalah khabar angin sahaja.
Kemenangan ini sekaligus membuka jalan politik baharu kepada Larry. Beliau menyertai PKR dan seterusnya menjadi Pengerusi Negeri PKR Sarawak pada 2020.
Lompatan Ke-LIMA Larry
Apabila keadaan mendesak dan tidak menyebelahinya, Larry sekali lagi melakukan lompatan. Kali ini, lompatan Larry adalah lompatan yang bertujuan untuk ‘menyelamatkan’ kepimpinan Perdana Menteri, Mahiaddin Yasin yang dikatakan telah hilang majoriti di Dewan Rakyat. Sudah pasti Azmin dan rakannya tersenyum dibelakang tadbir melihat tindakan Larry ini.
Apa Yang Kita Belajar dari Larry?
Larry merupakan contoh tentang kekotoran politik Malaysia. Posisi, kuasa dan wang telah menjadi panduan kepada ahli politik sebegini. Rakyat bukanlah hal utama yang difikirkan oleh mereka.
Jadi, apa seterusnya untuk rakyat? Kita sudah pasti letih dan lelah dengan tindakan ahli politik sebegini. Pertama, parti politik yang perlu lenyap dalam arena politik Malaysia adalah tidak lain dan tidak bukan: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pada PRU lepas, PPBM hanyalah memenangi 12 kerusi sahaja. Akibat pengkhianatan dan tindakan ‘membeli’ ahli parlimen yang sanggup mengkhianati mandat rakyat (Sama ada dari BN atau PH), Bersatu kini mempunyai 31 ahli Dewan Rakyat.
Orang-orang seperti Azmin, Larry, Ali Biju, Willie Mongin dan lain-lain seharusnya dilenyapkan dari politik Malaysia. Dibenci oleh orang-orang BN dan juga PH. Pengkhianatan demi kepentingan politik dan kuasa harus dihentikan segera!