05/07/2024
Program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat telah berjaya diadakan di Pantai Pandak atau lebih dikenali dengan Pantai Tok Kita, berhampiran SK Chendering, pada 5 Julai 2024 (Jumaat). Program ini adalah hasil kolaborasi Pelajar PJJ UUM Kampus Kuala Lumpur bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Geng Plastik Ija (GPI), SMK Sultan Sulaiman, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), SK Chendering, dan komuniti setempat, yang berjaya mengutip sebanyak 406kg sisa sampah. Pantai Tok Kita kini menjadi lokasi tarikan terbaharu untuk aktiviti 'healing' bagi penduduk tempatan dan pelancong.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada kursus VKMB2041 Pembangunan Masyarakat IV. Pengarah Program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat, En. Mohd Aliff Bin Hamzah, menyatakan bahawa program ini adalah sebuah program kemasyarakatan yang menggabungkan masyarakat dan pelajar UUM untuk menjaga kebersihan pantai dan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Aktiviti Program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat merangkumi beberapa usaha utama yang bermula dengan mengutip sampah di persisiran pantai, aktiviti utama yang melibatkan semua peserta untuk membersihkan kawasan pantai, menjadikannya lebih bersih dan menarik. Seterusnya, pelbagai s**an rakyat atau permainan tradisional diadakan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dan penduduk kampung serta memupuk semangat kerjasama. Selain itu, terdapat juga aktiviti gotong-royong memasak Bubur Asyura bersama penduduk kampung yang kemudian diedarkan kepada penduduk setempat, memupuk semangat kekeluargaan dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Program ini melibatkan seramai 20 pelajar PJJ UUM, 10 ahli GPI, MBKT 10 orang, 7 pelajar UMT, 34 murid SMK Sultan Sulaiman, 25 murid SK Chendering, 10 guru serta penduduk kampung sekitar. Program ini adalah hasil sumbangan pihak kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang berbesar hati membantu menjayakan program ini.
Program ini turut dihadiri oleh tetamu jemputan seperti En. Jusoh Bin Sulong, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Datoβ Haji Rosli Bin Latif, Datuk Bandar Kuala Terengganu, dan YB Ustaz Sulaiman Bin Sulong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Terengganu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Ustaz Sulaiman Bin Sulong. Sebagai simbolik pelancaran program, pelajar UUM telah memberi sumbangan papan tanda dan tong kitar semula untuk digunakan oleh penduduk dan pengunjung-pengunjung yang hadir di persisiran Pantai Pandak.
En. Mohd Aliff Bin Hamzah menegaskan, "Harapan kami dengan anjuran program ini adalah untuk terus memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan pantai. Kami juga berharap agar tong sampah kitar semula yang disumbangkan dapat digunakan dengan lebih baik oleh para pengunjung, memastikan kawasan pantai ini sentiasa bersih dan terpelihara. Program sebegini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya kawasan persisiran pantai akan terus terjaga dan menjadi tempat yang indah dan bersih untuk dinikmati oleh semua." Dengan usaha bersama ini, diharapkan Pantai Tok Kita akan terus menjadi destinasi menarik dan bersih untuk komuniti dan pelancong.