01/01/2025
(Nafsu vs wanita! ciptaan Allah paling istimewa)
Apa yang dikatakan nafsu sebenarnya bukan sesuatu yang hanya melibatkan syahwat, malah ia merangkumi keseluruhan keinginan dan lebih kepada s**akan sesuatu yang indah dan cantik. Tidak ketinggalan juga kasih sayang.
Mengikut kamus dewan, nafsu membawa maksud keinginan yg keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang kuat, dorongan hati. Manakala akal bermaksud budi atau fikiran ilmu. Jika menyebut perihal nafsu tidak semestinya ia hanya menjurus kepada sesuatu yang tidak baik sahaja.
Malah nafsu ini juga boleh dikenali dengan nama emosi. Begitu juga dengan akal, dalam cabang akal terdapat banyak laluannya. Tidak semua akal itu baik dan begitu juga sebaliknya. Kerana itulah wanita tidak boleh merasa rendah diri apabila dikatakan kurangnya akal dan tingginya nafsu. Malah lelaki juga jangan terlalu bangga memiliki akal yang banyak berbanding nafsu. Masing-masing ada kelebihannya.
Apabila berbicara tentang akal dan nafsu, tidak terlepas juga setiap pasangan suami isteri pasti akan melalui situasi di mana mereka akan menggunakan akal dan nafsu mereka untuk memastikan bahtera rumahtangga sentiasa mekar disirami bahagia.
Sesungguhnya Allah yang telah menciptakan kehidupan ini. Dia yang telah menciptakan wanita untuk lelaki. Wanita menjadi tempat lelaki menumpahkan bibit cinta dan kasih sayang, begitulah sebaliknya lelaki sebagai pelindung dan tempat bermanja kepada wanita.
Demikianlah lelaki dan wanita yang berbeza peranan tetapi saling lengkap-melengkapi dan saling memerlukan.
Wanita adalah rakan setia bagi lelaki. Jika baik wanita maka baiklah lelaki yang menjadi temannya dan jika buruk akhlaknya, maka buruklah akhlak lelaki tersebut. Sebagaimana kata orang dahulu,
“Wanita adalah penawar dan wanita juga adalah racun, maka berhati-hatilah.”
Wanita yang solehah, mempunyai didikan agama Islam yang sempurna, berakhlak mulia dan beriman maka dia adalah umpama penawar kepada suaminya dan masyarakat. Sebaliknya jika seseorang wanita itu tidak beriman, mempunyai akhlak yang buruk, maka dia adalah racun yang berbisa kepada suaminya dan akan meruntuhkan masyarakat dan juga sebuah negara.
Malah Allah juga berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 10,
“Allah menjadikan isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya di bawah (pimpinan dan kasih sayang) dua orang hamba dari hamba-hamba Kami yang soleh; lalu isteri-isteri itu berkhianat (menentang perintah Allah SWT) kepada kedua-dua suami mereka, maka kedua-dua suami mereka itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah; Dan dikatakan (kepada mereka): Masuklah ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka).”
Namun begitu, jangan sesekali lupa bahawa wanita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, wujudnya wanita di dunia ini, di kurnia tenaga sehingga mampu menjengah jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki juga zuriat yang di kandung sembilan bulan ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu yang diilhamkan Allah untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Allah yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, sudah tertulis wanita diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengetepikan kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Allah itu indah, wanita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjung, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulang, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyak, bukan dekat lutut untuk ditindih, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat di hati untuk di mulia, disayangi dan dicintai. Begitulah istimewanya wanita.