27/06/2024
Buku terbitan REPUBLIKBUKU masih boleh didapatkan di Toko Buku Rakyat. Jemput dapatkan sementara masih ada stok.
RESENSI BUKU BERTULIS : SEMUA ORANG ADALAH GURU, Setiap Tempat Adalah Sekolah, tulisan Sadiq Salihoddin, terbitan Republik Buku.
Pendidikan merupakan isu yang sepatutnya dekat di hati setiap rakyat Malaysia atau penghuni dunia umumnya. Manakan tidak, isu ini adalah isu yang sentiasa memerlukan muhasabah. Justeru, apabila penulis buku ini yang merupakan salah seorang rakan alam maya saya, mula memaklumkan buku ini akan diterbitkan dan dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022, saya tidak melepaskan peluang untuk membeli, membaca dan bertanyakan soalan kepada penulis sendiri untuk bertukar-tukar pendapat dengan beliau. Semoga perbincangan dalam talian dan tulisan resensi ini boleh menjadi penyambung sesi muhasabah ke arah sistem pendidikan Malaysia yang lebih mapan.
Halaman 10 buku ini memperlihatkan satu pengumuman penulis tentang betapa banyaknya orang sudah mengulas isu keagamaan. Jadi, pada peringkat awal, saya menjangkakan beliau mungkin tidak akan menyentuh isu agama, tetapi jangkaan saya meleset. Beliau terus-menerus menyentuh isu agama. Antaranya pada halaman 119,
“Agama sepatutnya lebih menjadikan pelajar terbuka tetapi berprinsip. Bukannya sempit tetapi buta. Buta terhadap ilmu sebenar.”
Maka kami setuju dalam satu isu besar, iaitu, isu pendidikan tidak dapat dipisahkan jauh daripada isu agama. Kerana jika dilihat dalam Islam, ilmu itu diberikan keutamaan.
“Tidak ada istilah ‘habis belajar’ dalam diri manusia. Nak atau tak nak, manusia akan tetap belajar. Belajar sama seperti makan dan minum. Ia bersifat asasi.” (Halaman 12)
Setuju. Pembelajaran itu adalah proses konsisten sehingga mati atau ketika sudah hilang daya intelektual atau tidak mampu lagi mencerna maklumat. Tetapi selagi terdaya, ianya akan terus dilakukan oleh kita semua. Penulis cuba membawa muhasabah dalam kalangan diri pembaca untuk sedar bahawa proses belajar itu tidak sepatutnya diberhentikan setakat di sekolah atau universiti sahaja. Cuma semakin hanyut saya dibawa oleh kata-kata penulis, saya seakan terfikir sesuatu.
“Apa hujah atau point dasar yang penulis cuba ketengahkan?”
Persoalan ini timbul apabila saya lihat kritikan penulis tentang orang yang terlalu mengutamakan gred sehingga ia menjadi motif utama kenapa seseorang itu belajar. Naratif cliché ini dikritik lumat oleh penulis antaranya pada halaman 16 dan 89.
Tidak cukup dengan kritikan terhadap gred, penulis juga mengkritik cara belajar yang gurunya hanya mahu habiskan silibus. Kritikan penulis juga dilontarkan kepada ilmu yang tidak dapat dipraktikkan dalam dunia sebenar. Disebabkan kritikan penulis ini saya lihat terlalu luas, maka soalan yang timbul dalam minda saya itu menjadi semakin besar dan mendasar.
Halaman 31 mula menunjukkan sisi kedua kritikan penulis. Kali ini penulis mengkritik pembelajaran yang hanya ingin membentuk tahu, tetapi tidak berdisiplin dan tidak merujuk banyak sumber.
“Maksud ‘belajar dengan disiplin yang tepat’ ialah mempelajari satu ilmu itu dengan tingkatan-tingkatannya yang tertentu.” (Halaman 31)
Terfikir p**a di fikiran saya, di sinilah gunanya silibus, sistem, objektif pembelajaran dan sebagainya. Jadi, kenapa penulis mengkritik silibus sebentar tadi tetapi sekarang menyentuh soal berdisiplin dalam soal menuntut ilmu?
Menjengah halaman 38, penulis kembali menyentuh isu pembelajaran melalui aplikasi atau amali terus di medan pekerjaan. Hal ini relevan untuk sesetengah jenis pekerjaan yang mulia dan penting seperti bertukang, bertani, memasak, membuat kuih dan sebagainya. Tetapi, jika dipanjangkan kepada bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan dan sebagainya, ianya tidak relevan.
Seperkara lagi yang perlu diingat, pada halaman 14, penulis menyatakan seperti berikut:
“Setiap bangkangan, mesti disertakan sekali dengan mekanisme cadangan dan alternatif.”
Jadi, sepanjang saya membaca buku ini, yang saya cuba cari ialah solusi dari penulis sendiri, beserta soalan yang tadinya belum terjawab.
Penulis juga tidak gagal mengkritik relevan atau tidak sesuatu subjek atau sub-subjek diajarkan kepada murid di sekolah, umpamanya Algebra. Kritikan ini dapat dibaca pada halaman 105 dan 106. Saya setuju kerelevanan sesuatu subjek itu perlu dikaji semula dan diselarikan supaya subjek yang diajar itu dapat memenuhi keperluan semasa generasi akan datang. Tidaklah nanti disebabkan tidak pelajari ilmu sains, habis semua pseudoscience diimani tanpa ragu oleh generasi akan datang (jika hal ini berlaku, bencana besar akan melanda umat).
Tetapi pada masa yang sama, tidak boleh dihapuskan silibus sama sekali. Jika terlalu bebas pembelajaran anak-anak di sekolah, besar kemungkinan mereka tidak akan belajar apa-apa subjek dengan kefahaman tuntas dan jitu. Hanya beralasankan kebebasan. Mungkin subjek yang mereka rasakan tidak relevan dan tidak berguna seperti matematik tambahan (differentiation and integration) itu masih belum difahami kegunaannya, bukannya langsung tidak berguna. Sekali lagi saya bersetuju dengan penulis apabila penulis menyatakan kepentingan guru untuk memaklumkan kepada pelajar akan kegunaan informasi atau ilmu dalam subjek yang diajarkan kepada mereka.
Isu intelektual juga disentuh oleh penulis. Peranan intelektual sangat penting dalam mengetengahkan hak marhaen contohnya dalam isu pendidikan untuk orang miskin dan cara menyelesaikan masalah ekonomi dan kemiskinan yang impaknya lebih besar dan akbar dirasai oleh orang miskin di seluruh dunia.
Kata penulis:
“Intelektual sepatutnya berfikir hal-hal masyarakat kebanyakan. Bukan hanya membincangkan perihal kaum elit sahaja. Bukan setakat berdiskusi di hotel lima bintang sahaja. Bukan setakat berbincang hal-hal poligami sahaja. Bincangkan isu-isu yang lebih membumi dan perlu seperti isu kemiskinan, isu perpaduan tanpa rasisme, isu menaikkan pemimpin wibawa dan sebagainya.”
Seratus-peratus saya bersetuju dengan kata-kata penulis pada halaman 124 ini. Jujurnya, asakan untuk menjadikan diri sendiri sebagai seorang cerdik pandai yang berkebolehan menyelesaikan masalah marhaen, semakin terpacu selepas membaca kata-kata penulis ini secara spesifik.
Penulis mula menyentuh berkenaan Autodidak bermula halaman 135. Mulai halaman ini, solusi dan jawapan kepada persoalan awal yang berselirat dalam fikiran saya mula dapat saya ringkaskan kepada satu pernyataan iaitu:
“To have a consistent informal education and to restructure our current formal education system.”
Ternyata sebenarnya penulis cuba membawa kita semua untuk bermuhasabah secara konsisten tentang bagaimana mengkayakan diri sendiri dengan ilmu dari pembelajaran tidak formal secara istiqamah, dan diapit baik oleh pembelajaran formal sejak bangku sekolah hingga ke universiti yang sistem pendidikan formal itu sentiasa diberikan silibus dan nafas baru melalui subjek-subjek yang relevan. Tidaklah menolak semua subjek dan mengajak bebas silibus secara membabi buta kerana hal itu mungkin akan melahirkan lebih banyak himpunan pentaksub teori konspirasi dan ustaz-ustaz kaki goreng anti-ilmu sains ‘yahudi’. Pada masa yang sama, tidaklah silibus itu hanya perlu diajar tanpa dijelaskan fungsi dan bagaimana relevannya setiap subjek yang diajarkan.
Maka jelas untuk saya selaku pembaca, keseimbangan antara pendidikan formal dan tidak formal menjadi naratif utama penulis buku ini. Mungkin ajakan muhasabah ini saya lihat sebagai terlalu abstrak dan terawang-awangan, tetapi saya faham mungkin kritikan awal penulis terhadap sistem pendidikan ini akan disusuli dengan kritikan terperinci tentang kesuluruhan sistem pendidikan merangkumi pembelajaran di bilik darjah dan karenah birokrasi serta beban kerja guru yang memegang amanah memandaikan anak bangsa.
Saya akhiri resensi buku ini dengan nukilan kata-kata penulis pada halaman 146,
“Hari ini sudah jadi pelik dan janggal. Idea ditentang label. Hujah saintifik ditentang dengan teori konspirasi. Dalil ditentang dengan emosi. Kesan daripada ‘budaya’ ini, maka naiklah ‘pakar-pakar’ ilmu yang berbincang hal-hal melangit, bukan membumi. Mendakwa kesesatan, bukan menawarkan solusi. Bergantung kepada mistik dan teori konspirasi, bukan kaedah saintifik dan rasionalisme. Sudah perasan pakar hanya dengan ilmu abstrak, bukan ilmu terperinci. Sibuk tambah bini, bukan tambah idea untuk membasmi kemiskinan.”
Ayuh terus bermuhasabah.
Apakah sumbangan kita untuk membina sistem pendidikan yang terbaik untuk generasi akan datang?
Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.