07/01/2026
PTI KA YG RAMAI SKARANG NI??
KENYATAAN BALAS MEDIA
PARTI WARISAN SABAH
Parti Warisan mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat (PPGR) berhubung isu peningkatan jumlah Penduduk Bukan Warganegara di Sabah.
Warisan ingin menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan oleh kami adalah berlandaskan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta realiti di lapangan yang dirasai rakyat Sabah.
Menurut Anggaran Penduduk Semasa, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),
“Jumlah penduduk Sabah, yang merangkumi warganegara dan bukan warganegara, terus menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.”
DOSM turut merekodkan bahawa Sabah merupakan antara negeri dengan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi di Malaysia, dan jumlah keseluruhan penduduk negeri ini kini dianggarkan melebihi 3.7 juta orang, berbanding sekitar 3.4 juta pada Banci 2020.
Lebih penting, data DOSM juga menunjukkan bahawa:
“Pertumbuhan penduduk di Sabah tidak semata-mata dipacu oleh kadar kelahiran, tetapi turut dipengaruhi oleh migrasi masuk, termasuk penduduk bukan warganegara.”
Warisan tidak pernah menyamakan Penduduk Bukan Warganegara sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Namun demikian, peningkatan mendadak jumlah Penduduk Bukan Warganegara, tanpa penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai pecahan status, sektor pekerjaan, tempoh keberadaan serta mekanisme kawalan dan penguatkuasaan, adalah isu sah yang wajar dipersoalkan.
Menyifatkan kebimbangan ini sebagai “mengelirukan” tidak menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan rakyat Sabah, iaitu:
1. tekanan terhadap peluang pekerjaan tempatan,
2. kesesakan kemudahan awam dan perumahan,
3. implikasi keselamatan, serta
4. kesan jangka panjang terhadap struktur demografi negeri.
Jika benar peningkatan ini berpunca daripada pemutihan data, pendaftaran digital warga asing atau pas kerja sah, maka kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan harus bertanggungjawab menjelaskan secara telus kepada rakyat Sabah, berasaskan data dan pelan tindakan yang jelas — bukan sekadar kenyataan defensif.
PPGR mengatakan bahawa data itu adalah jumlah sebenar pekerja asing yang direkodkan menggunakan Pendataan Digital Warga Asing Sabah.
Menurut statistik DOSM tersebut, terdapat sejumlah 1,040,200 penduduk Sabah bukan Warga Negara.
Walau bagaimanapun, pada 14 Ogos yang lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah nyatakan terdapat sebanyak 113,282 Warga Asing telah direkodkan sebagai pekerja asing dalam sektor perladangan di Sabah.
Angka ini sama seperti apa yang didaftarkan oleh GLC SMART Sabah Sdn Bhd mengunakan Pendataan Digital atau Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS).
Bagaimana pulak sejumlah 929,918 penduduk bukan warganegara yang tidak direkodkan oleh SMART Sabah atau Kementerian Dalam Negeri?
Jumlah hampir satu juta orang ini sangat besar dan peningkatan ini berlaku sejak tahun 2023 hingga 2024 yang menyaksikan penambahan sebanyak 279,400 orang.
Warisan percaya bahawa isu kedaulatan, keselamatan dan demografi Sabah tidak boleh dipolitikkan, tetapi juga tidak boleh diperkecilkan atau dipadam melalui permainan istilah. Rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya.
Warisan kekal komited untuk membincangkan isu ini secara bertanggungjawab melalui Dewan Undangan Negeri dan saluran rasmi, demi memastikan kepentingan dan masa depan rakyat Sabah sentiasa di utamakan.
TAMAT
Loi Kok Liang
ADUN Api Api
Chin Teck Ming
ADUN Kapayan
Samuel Wong
ADUN Luyang
Edna Majimbun
ADUN Inanam
5 Januari 2025