![Kenali Apa Itu FUP Dan Kenapa Ia Disertakan Dalam Pelan Internet 'Unlimited'Terma FUP atau nama penuhnya Fair Usage Poli...](https://img4.medioq.com/604/812/122174384096048128.jpg)
13/01/2025
Kenali Apa Itu FUP Dan Kenapa Ia Disertakan Dalam Pelan Internet 'Unlimited'
Terma FUP atau nama penuhnya Fair Usage Policy kini menjadi kelaziman dalam kalangan penyedia telekomunikasi tempatan hari ini.
Peraturan FUP ini bukanlah baru diperkenal mahupun terhad di Malaysia tetapi sudah lama dilaksanakan di luar negara.
Saya tidak pasti syarikat telekomunikasi manakah yang pertama menggunakan syarat FUP ini pada pelan 'tanpa had' mereka di Malaysia. Namun, ia kini sudah berjangkit pada kebanyakan 'telco' gergasi di sini.
Apa itu FUP?
1. FUP merupakan akronim untuk Fair Usage Policy. Ia merupakan polisi yang menetapkan apabila pengguna capai had penggunaan data ditetapkan, kelajuan internet mereka akan dihadkan pada kadar lebih rendah daripada asal.
2. Selain itu, ia juga mempunyai nama lain iaitu AUP yang merupakan singkatan pada Acceptable Usage Policy, menurut Consumer Info iaitu salah sebuah organisasi di bawah SKMM.
3. Sebagai contoh, pelan U25 U Mobile dengan kelajuan maksimum 3Mbps mempunyai kuota FUP setinggi 30GB. Jika anda capai 30GB, maka kelajuan maksimum diturunkan ke 512kbps.
Kenapa wujudnya FUP?
Tujuan FUP ialah untuk mengelakkan pengguna menyalahgunakan hak diberikan sehinggakan menjejaskan pengguna lain.
Mudah kata, FUP menegaskan bahawa pelan 'unlimited' adalah untuk penggunaan normal, bukan pembaziran atau disalah guna.
Iyalah, sudah dikatakan tanpa had kuota, pastinya ada segelintir yang mengambil kesempatan membelasahnya 24/7 dan melampaui batas. Tanpa sedar, ini menyebabkan pengguna lain terkesan.
Menurut Digi, sekitar 5-10% pengguna menggunakan 70-80% daripada bandwidth tersedia. Inilah menyebabkan FUP dilihat sebagai solusi.
Kenapa FUP boleh digunakan pada pelan yang diiklankan sebagai tanpa had?
1. Kami telah cuba mendapatkan jawapan daripada SKMM berkenaan pelaksanaan FUP pada pelan tanpa had yang dipasarkan MNO di Malaysia. Namun, masih belum mendapat jawapan.
2. Tetapi, seperti ditulis di atas, syarikat 'telco' seluruh dunia mengamalkan FUP untuk mengelakkan penggunaan berlebihan sehinggakan menjejaskan pengguna lain.
Imbas kembali, sebelum pelan unlimited dipopularkan di Malaysia, pengguna perlu melanggan pelan yang berkuota contohnya 20GB sebulan. Habis saja 20GB, pengguna langsung tidak boleh melayari internet.
3. Namun dengan pelan tanpa had atau unlimited yang mempunyai FUP, pengguna masih boleh layari internet walaupun mencapai kuota FUP. Cumanya, kelajuannya diturunkan.