30/03/2022
Kisah Sebiji Benih
===============
Seorang CEO mahu mencari pengganti untuk mengambil alih perniagaannya. Daripada memilih salah seorang pengarah syarikat atau anak-anaknya, dia memutuskan untuk melakukannya dengan cara yang berbeza.
Lalu, dia memanggil semua eksekutif muda dalam syarikat itu. Katanya,
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur. Jadi, saya mahu melantik salah seorang daripada kamu sebagai CEO seterusnya.”
Semua eksekutif muda itu terkejut.
“Hari ini, setiap seorang daripada kamu akan menerima sebutir biji benih. Biji benih ini sangat istimewa. Saya mahu kamu tanam dan jaga biji benih itu dan tunjukkan hasilnya kepada saya dalam tempoh satu tahun dari sekarang. Orang yang pokoknya dipilih, akan dilantik sebagai CEO bagi menggantikan saya.”
Salah seorang eksekutif yang menerima anak benih itu ialah seorang wanita bernama Jill. Dia p**ang ke rumah dengan perasaan teruja dan memberitahu suaminya mengenai apa yang berlaku. Suaminya membantu Jill mendapatkan pasu, tanah, baja, dan menanam biji benih itu. Setiap hari, Jill akan menyiramnya bagi memastikan biji benih itu tumbuh dengan baik.
Tiga minggu selepas itu, semua eksekutif mula bercerita tentang biji benih masing-masing yang sudah mula tumbuh; sedangkan biji benih Jill masih belum menunjukkan apa-apa perkembangan.
Tiga minggu, empat minggu, lima minggu; masih tiada apa yang berlaku. Ketika semua orang sedang gembira bercerita tentang biji benih masing-masing, biji benih Jill p**a masih begitu. Dia mula berasa sudah gagal.
Enam minggu berlalu – masih tiada apa yang tumbuh di dalam pasunya. Dia mungkin sudah merosakkan biji benihnya tanpa sengaja. Jill tidak bercerita langsung tentang biji benihnya. Namun, dia terus menyiram, membaja dan menjaga biji benih itu tanpa putus asa. Dia sangat mahu melihat biji benih itu tumbuh.
Masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Semua eksekutif membawa pokok masing-masing.
Pada mulanya, Jill tidak mahu datang dengan pasu yang kosong. Tetapi suaminya meminta Jill jujur sahaja dengan bosnya. Dengan berat hati, Jill mengikuti nasihat suaminya dan datang ke pejabat.
Jill masuk ke dalam bilik pengarah dengan perasaan gementar. Dia kagum melihat pelbagai jenis pokok dan bunga yang cantik di dalam bilik itu. Pasunya sahaja yang tiada pokok.
Jill meletakkan pasunya itu di atas meja dan rakan-rakannya mula mentertawakannya.
Tidak lama kemudian, CEO itu masuk ke dalam bilik tersebut.
“Wow, banyaknya pokok dan bunga! Cantik-cantik!” katanya.
“Baik, hari ini saya akan melantik salah seorang daripada kamu sebagai pengganti saya,” sambungnya lagi.
Tiba-tiba dia melihat Jill dan pasunya yang kosong di bahagian belakang bilik itu. Lalu, dia meminta Pengarah Kewangan memanggil Jill datang ke hadapan.
Jill mula gelisah. Fikirnya, ‘CEO tahu aku sudah gagal. Mungkin aku akan dipecat.’
CEO itu bertanya Jill apa yang berlaku kepada biji benihnya. Lalu Jill memberitahu ceritanya dengan jujur. Selepas mendengar cerita itu, CEO meminta semua eksekutif duduk, kecuali Jill.
“Memperkenalkan CEO terbaru kamu. Jill!”
Semua eksekutif yang berada di situ tidak puas hati. Salah seorang eksekutif bernama Brandon, mula membantah.
“Biji benih Jill tak tumbuh. Dia tak dapat menjaga biji benihnya.”
“Betul! Macam mana dia p**a yang jadi CEO?” sambut rakan-rakan eksekutif yang lain.
CEO itu tersenyum dan menjawab dengan tenang.
“Setahun yang lepas, saya memberikan biji benih kepada semua orang di dalam bilik ini. Saya minta kamu menanam, menyiram dan menjaganya, kemudian membawanya kepada saya hari ini. Ada satu rahsia yang kamu tidak tahu mengenai biji benih itu … .”
Semua eksekutif di dalam bilik itu mula berbisik sesama sendiri. Mereka tertanya-tanya apakah rahsia tersebut.
“Semua biji benih itu sudah direbus; bermakna ia sudah mati. Jadi, mustahil ia akan tumbuh. Kamu semua datang hari ini dengan pelbagai jenis pokok dan bunga, kecuali Jill. Bila kamu lihat biji benih kamu tidak tumbuh, kamu menggantikannya dengan yang baru. Hanya Jill yang berusaha menjaganya dan dengan jujur membawa pasunya yang kosong kepada saya.
Jadi, dialah CEO baru kamu.”
Cerita ini mungkin seperti dongeng, namun, adakah pemimpin seperti ini masih wujud hari ini?
Ya, mereka masih wujud.
Apa pengajaran yang kita dapat mengenai ‘seorang pemimpin’ dalam cerita ini? Apa komitmen kita sebagai pemimpin?
• Jika kita ‘menanam’ kejujuran, kita akan ‘menuai’ kepercayaan.
• Jika kita ‘menanam’ kebaikan, kita akan ‘menuai’ persahabatan.
• Jika kita ‘menanam’ kerendahan hati, kita akan ‘menuai’ kehebatan.
• Jika kita ‘menanam’ ketabahan, kita akan ‘menuai’ kepuasan.
• Jika kita ‘menanam’ timbang rasa, kita akan ‘menuai’ perspektif yang baik.
• Jika kita ‘menanam’ kerja keras, kita akan ‘menuai’ kejayaan.
• Jika kita ‘menanam’ kemaafan, kita akan ‘menuai’ perdamaian.
Jadi, berhati-hati dengan apa yang kita ‘tanam’. Ia akan menentukan apa yang kita ‘tuai’ kemudian hari nanti.