11/09/2024
11 Sept 2024 | Sering Ukay, Ampang – Sebuah pemajuan sedang dijalankan di Sering Ukay yang jelasnya melibatkan lereng bukit dan cerun. Tiada papan tanda pembinaan dijumpai di hadapan / dekat dengan pintu utama pemajuan tersebut.
Merujuk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172]: -
i. Pemajuan bermaksud menjalankan apa-apa kerja bangunan, kejuruteraan, perlombongan, perindustrian, atau apa-apa kerja lain yang seumpamanya pada, di atas, di sebelah atas atau di bawah tanah, membuat apa-apa perubahan material mengenai penggunaan mana-mana tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya, atau memecah sempadan atau mencantumkan tanah; dan “memajukan” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya; dan
ii. Kerja Kejuruteraan bermaksud “kerja kejuruteraan” termasuklah membentuk atau meratakan tanah, membentuk atau menyediakan jalan masuk ke suatu jalan, atau memasang kabel, sesalur, atau menyediakan bekalan air atau aliran;
Jelasnya apabila kita melihat keadaan di lokasi, tidak boleh dinafikan pemajuan sedang berlaku di lokasi tersebut.
Jadi, Kebenaran Merancang adalah perlu sebelum menjalankan apa-apa kerja pemajuan menurut Subseksyen 19(1), Akta 172 yang menyatakan: -
“(1) Tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan, boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3).”
Oleh sebab pemajuan di Sering Ukay adalah melibatkan puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif, Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dan Kerajaan Negeri Selangor pun tiada kuasa untuk meluluskan permohonan kebenaran merancang (sekiranya dimohon oleh pemilik tanah) tanpa merujuk permohonan tersebut kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN). Ini adalah menurut Subseksyen 22(2A)(c), Akta 172 yang menyatakan: -
“(2A) Jika permohonan yang dikemukakan di bawah seksyen ini melibatkan—
(c) suatu pemajuan yang melibatkan puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif dalam suatu rancangan pemajuan, Jawatankuasa hendaklah meminta daripada Majlis nasihatnya berkenaan dengan permohonan yang dikemukakan itu.”
Pengarah Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang berkelayakan TPr tersebut wajar tahu dan peka terhadap keperluan undang-undang sebelum mencadangkan untuk meluluskan sebarang permohonan kebenaran merancang.
Aduan turut telah disalurkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan PLANMalaysia pada 10 Sept 2024 untuk tindakan selanjutnya.