28/03/2024
"Kenapa nak buat PADU? Bukan ke Kerajaan dah ada semua data rakyat?"
Selama ini, data kita berselerakan di pelbagai agensi.
Mahu buka akaun KWSP, akaun berasingan. Mahu daftar anak ke sekolah, akaun berasingan. Mahu dapat rawatan dihospital, akaun berasingan. Mahu bayar cukai, akaun berasingan.
Juga pada masa yang sama, setiap kali kerajaan memperkenalkan aplikasi baru di mana-mana agensi, pengguna perlu mendaftar dan membuka akaun maklumat diri di aplikasi tersebut.
PADU adalah penyelesaian kepada masalah ini. PADU akan menjadi tulang belakang kepada infrastruktur digital khidmat awam negara untuk dekad-dekad mendatang.
Sekiranya anda ada maklumat di dalam PADU, kelak anda tidak perlu lagi berulang kali mendaftar.
Pembuat sistem baru di pelbagai agensi juga cuma perlu merujuk kepada maklumat pengguna di PADU.
Bila integrasi data seperti ini berlaku, khidmat awam akan menjadi lebih efisien dan pantas.
Negara Estonia yang menawarkan khidmat kerajaan secara digital kepada rakyatnya merupakan contoh terbaik.
Rakyat Estonia cuma perlu melayari sebuah laman web utama eesti.ee untuk berurusan dengan kerajaan.
Daripada bayaran cukai, preskripsi ubat-ubatan, mendapatkan bantuan kerajaan, mendapatkan kad insurans, faedah perubatan dan pergigian, mendaftar syarikat baru, bantuan pendidikan anak-anak, kepada insurans trafik, dan banyak lagi, semua disediakan di sebuah portal sahaja.
Estonia adalah model terbaik bagaimana PADU satu hari nanti akan berperanan besar di dalam negara.
Seperti yang semua sedia maklum, use case PADU yang pertama adalah penyasaran semula subsidi.
Namun, suatu hari nanti, kita boleh bayangkan perkhidmatan awam Malaysia persis Estonia.
Juga dengan adaptasi AI, maklumat, program, serta bantuan Kerajaan boleh disampaikan bukan secara pukal, tetapi mengikut keperluan tertentu.
Sebagai contoh, seorang ketua keluarga yang baru kehilangan pekerjaan. Daripada data PADU, individu tersebut akan mendapat cadangan pekerjaan baru yang bersesuaian dengan kelayakan, pengalaman, tempat tinggal, dan gajinya.
Seperti content yang ditawarkan secara personalized di media sosial mahupun Netflix, satu hari nanti PADU juga akan mempunyai keupayaan sebegitu.