11/07/2022
Sabah di mana dalam posisi IT?
MALAYSIA AKAN KEKAL MUNDUR IT
Hati sudah terluka tidak terkira banyaknya.
Kerana apa?
Kerana abam berpendapat, Malaysia akan terus menerus terkebelakang beberapa tahun dalam dunia IT. Hanya mampu bermegah dengan teknologi tak seberapa untuk modal reviu saluran² YouTube tempatan.
Setelah beberapa bulan di negeri sendiri, dapatlah kiranya disimpulkan bahawa kebanyakan kemewahan 'rasa' teknologi baharu hanya dapat dinikmati di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Selangor.
Disinilah berkumpulnya majoriti syarikat² besar dan kecil, sama ada antarabangsa mahupun dari anak bangsa. Maka ruang dan peluang pekerjaan juga tertumpu di sana, mengakibatkan bandaraya yang sesak semakin menyesakkan, sementara di negeri lain masih beroperasi hanya sekadarnya.
Kekayaan tidak seimbang ini menyumbang kepada pelbagai jenis isu, yang mana antaranya perkembangan teknologi maklumat bersifat tertumpu pada tiga negeri ini terlebih dahulu, manakala di negeri lainnya hanya 'mengambil bau'.
Akibat dari hal ini, terjadilah kebanyakan rakyat kita tidak cakna terhadap peri pentingnya pembangunan teknologi di sekeliling, malah kecanggihan telefon pintar di tangan sendiri pun belum tentu mampu diguna pakai sepenuhnya.
Contoh mudah, berapa ramai di kalangan anda/rakan/ahli keluarga yang masih tidak tahu menyelaras senarai kenalan (contacts) ke dalam akaun Google, iaitu akaun sama digunakan untuk memuat turun permainan Diablo Immortal di Google Play Store?
Dulu, abam secara umum amat optimis. Malaysia dirasakan mampu menerajui dan menjadi sebuah gedung teknologi baharu. Namun, 'budaya' orang kita, apa saja dirancang bukanlah untuk watan, tetapi lebih kepada kesenangan diri semata.
Ada projek boleh ditunggang demi laba berjuta? Ayuh kita segerakan. Nanti kita bahagi sama rata. Tapi lumrah orang tamak sesama orang tamak, belum pun sempat projek bermula, sudah 'disailang' orang ideanya. Maka berlarutan konflik demi konflik yang akhirnya mewujudkan ketegangan, lalu tamatlah begitu saja sebuah projek IT yang mempunyai potensi memudahkan kehidupan serta urusan rakyat.
Ini baru satu cerita di sebalik cereka (mungkin sebuah kisah benar, mungkin tidak. Mungkin juga hanya berlaku di negara Estonia, kerana orang kita baik belaka).
Antara lain, kebanyakan pejabat kerajaan berpusat di Putrajaya (HQ). Bajet kelengkapan pejabat jika difikirkan dulu, itu pun terasa seakan 'lepas makan' sahaja.
Namun, lengkaplah juga setiap orang ada mesin pencetak masing² di meja sendiri. Di negeri, satu mesin pencetak dikongsi sepejabat, kerana yang ada di meja apabila dicetak keluar hasilnya berbelang-belang, tidak dibaiki atau diselenggara begitu lama.
Logikanya, kalau kelengkapan asas pejabat pun belum dapat diberikan dalam keadaan terbaik, apa lagi hendak kita harapkan untuk bahagian teknologi lain yang semestinya jauh memerlukan peruntukan lebih besar.
Bab penyediaan mesin pencetak pun sudah gagal, usah disebut dan diharap pada kelengkapan lebih canggih apabila ia tiba nanti.
Kerana itu ada anak watan kita yang masih perlu memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan liputan rangkaian internet lebih baik. Jenis manusia patut turun padang pun sekadar turun untuk ambil gambar bagi menunjukkan dia sudah 'buat kerja' sahaja.
Asalkan ada gambarnya dalam akhbar, kembanglah hidung seminggu. Tetapi kerja susulan untuk mengetahui keadaan isu dari semasa ke semasa tidak dilakukan.
Google Meet untuk kursus secara hibrid?
Ahhh, persetankan ia kerana sekarang sudah boleh berjumpa secara fizikal. Apa salahnya buat fizikal 100%, walaupun kerajaan sudah menanggung kos pembelanjaan penggunaan Google Workspace.
Asal saja dapat makan bihun goreng dan air teh o panas percuma di dewan makan, itu sudah cukup menggembirakan para pegawai tua yang menanti masa untuk berpencen.
Apa guna kemudahan berkursus dalam talian jika tidak digunakan semaksimumnya? Bukankah ia juga dapat memudah cara dan membantu mereka yang duduk agak jauh dari lokasi kursus?
Ada otak sila pakai secara optimum.
Oh ya, baru teringat p**a tentang syarikat² tempatan kita yang terlalu 'kedekut pahit'. Tawaran pekerjaan baharu dibuka beserta deskripsi tugas yang pelbagai (atau bahasa pasarnya, berlambak), tetapi gaji ditawarkan bermula serendah RM1500.
Kemudian dicanang satu dunia anak muda malas bekerja ke media².
Jangan p**a lupa anda penyebabnya, bersifat bakhil tetapi inginkan keuntungan mega. Modal gaji nak keluar sedikit, kemahiran pekerja nak ditarah semahu mungkin.
Ya, masih ada banyak contoh lain yang jika hendak ditulis, tidak cukup ruang muka buku ini.
Pendek kata, andai Malaysia masih kemunduran bab IT di tahun-tahun mendatang, usahlah salahkan orang lain. Orang kita sendiri mencorakkannya sehingga jadi begini.
Dalam beberapa tahun nanti, anda akan ingat semula artikel ini.
Point tambahan:
https://omghackers.com/mundurnya-it-di-malaysia-kerana-pembudayaan-yang-terkebelakang/