10/09/2023
MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT SEIRING TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB
KUALA LUMPUR, 5 Sep 2023 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Majlis pemakaian pangkat yang melibatkan 39 orang Pegawai Kanan TD dimulakan dengan Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan kenaikan pangkat 2 orang Pegawai Kanan berpangkat Brigedier Jeneral yang dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral iaitu Brigedier Jeneral Dato’ Norsham bin Md Tap yang telah dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral dan menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Darat serta Brigedier Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki yang juga dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral dan menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan – Markas Tentera Darat.
Selain itu, majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat 3 orang Pegawai Kanan berpangkat Kolonel dinaikkan pangkat ke Brigedier Jeneral, 8 orang Pegawai Kanan berpangkat Leftenan Kolonel dinaikkan pangkat ke Kolonel, 5 orang dianugerahkan tauliah Kolonel Kehormat dalam Angkatan Sukarela Persekutuan, 18 orang pegawai berpangkat Mejar dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel dan 2 orang Pegawai Kadet telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Muda.
Seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) merakamkan ucapan tahniah kepada pegawai-pegawai Tentera Darat yang telah dinaikkan pangkat. Semoga kenaikan pangkat ini akan meningkatkan lagi prestasi kerja dalam memacu organisasi TDM ke arah kecemerlangan.
Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizzudeain bin Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Dato’ (Doktor) Zulkeffeli bin Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan.