29/10/2021
12 Cadangan Belanjawan Pakatan Harapan.
1. Pakatan Harapan sekali lagi menzahirkan komitmen kami sebagai jurubicara dalam mendepani isu rakyat menerusi penerbitan Dokumen Strategi Belanjawan 2022 Pakatan Harapan. Makalah tersebut memuatkan 12 saranan langkah strategik mencakupi segmen ekonomi, sosial dan politik untuk memangkin pemulihan ekonomi pasca pandemik.
2. Sebagai permulaan, kami menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion seperti yang telah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.
3. Keutamaan harus diberikan kepada tunjang utama ekonomi negara iaitu peniaga mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui agihan bantuan tunai, geran pembiayaan dan subsidi termasuklah untuk memulakan semula perniagaan dan insentif untuk mewujudkan ruang kerja kalis pandemik.
4. Selain itu, kerajaan harus menitikberatkan golongan penganggur dan kehilangan kerja sama ada sebelum atau semasa pandemik. Kadar pengangguran kekal berada di paras tinggi. Justeru, PH mencadangkan inisiatif Program Malaysia@Work sebagai alternatif kepada PenjanaKerjaya dengan tawaran program yang komprehensif untuk meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi untuk jangka masa panjang. Pendedahan dan pengalaman kerja yang ditimba selama dua tahun dapat meningkatkan potensi pengekalan pekerjaan berbanding perjanjian sehingga 12 sahaja mengikut pelaksanaan program sedia.
5. Pemberdayaan wanita sentiasa menjadi antara agenda utama PH. Ini turut dicerminkan dengan saranan khusus untuk wanita dalam konteks ekonomi dan sosial. Bahana pandemik memaparkan realiti kehidupan ketua isi rumah wanita berbekalkan pendapatan median sekitar RM1,300, kurang 40% berbanding purata pendapatan isi rumah. Hal ini menekankan keperluan perangkaan dasar yang cakna jantina untuk menjamin pengagihan adil dan saksama.
6. Dalam masa yang sama, pemberian insentif perlu didukung dengan sistem sokongan yang wajar. Inisiatif Women@Work contohnya perlu dilaksanakan seiring dengan pembinaan pusat asuhan untuk menggalakkan wanita kembali bekerja.
7. Menuju fasa endemik ini, jumlah bantuan untuk institusi kekeluargaan perlu digandakan lagi untuk golongan miskin tegar (bantuan RM1,300 kepada RM2,500), B40 (bantuan RM800 dan RM1,900), M40 (bantuan RM250 kepada RM1,100). Kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan PH untuk memberi insentif mengikut saiz keluarga dengan menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM100 kepada setiap kanak-kanak di bawah tanggungan untuk meringankan beban ibu bapa kump**an rentan.
8. PH turut menawarkan saranan terperinci untuk memberdaya masyarakat Orang Asli dan Orang Asal, Sabah dan Sarawak untuk mengecilkan jurang digital dan ekonomi dan peningkatan akses kepada kesihatan, pendidikan dan mobiliti.
9. Intipatinya, Pakatan Harapan menzahirkan harapan agar kerajaan menyambut baik dan meneliti kesemua langkah strategik yang disarankan untuk memacu agenda pemulihan ekonomi pasca pandemik demi kesejahteraan negara tercinta.
Lupakan perbezaan, dahulukan rakyat.