09/09/2022
Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun
LONDON: Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun.
Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.
"Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta.
Putera tertua dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles, 73, secara langsung menaiki takhta sebagai Raja, sekali gus melakar sejarah sebagai pewaris takhta tertua dalam sejarah Britain.
Terdahulu, anggota kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang keadaan kesihatan ratu berusia 96 tahun yang dinasihatkan kekal di bawah pemantauan perubatan.
Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems' sejak hujung tahun lalu.
Kenyataan itu turut menjelaskan Putera Charles selaku putera sulung baginda dan pewaris takhta, dan isteri, Camilla berangkat ke Istana Balmoral, istana yang dihuni bersama putera sulungnya, Putera Wiliam.
Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana semalam mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya.
Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland.
Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.
Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.
Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.
Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.
Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.
Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.
Namun, sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.
Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.
Lagu kebangsaan 'God Save the Queen' dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai 'Monarki Global Terakhir'.
Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.
Upacara Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.
Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.
Warga Britain mula dikejutkan dengan hakikat bahawa era pemerintahan baginda mungkin sudah mencapai penghujungnya pada April 2021 berikutan kemangkatan suaminya selama 73 tahun, Putera Philip, yang juga Duke of Edinburgh.
Bagaimanapun, kemangkatan Philip tidak menjejaskan peranan baginda untuk menunaikan tanggungjawab awamnya, walaupun semakin terbatas akibat usia dan masalah kesihatan.
Pada salah satu penampilan awamnya yang terakhir iaitu Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baginda bertitah: "Tiada siapa antara kita akan hidup selama-lamanya".
Justeru, baginda menggesa pemimpin dunia meninggalkan legasi yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda. - AFP/ BH