10/09/2024
“Aku terima nikahnya, Leandra binti Lee dengan mas kahwin..”
Lalu berjuraian air mata tumpah ke p**i Leandra. Perasaan Leandra bercampur-baur ketika ini.
Gembira, sebak.. saling bergumpal menjadi satu ramuan perasaan yang sebati. Namun, perasaan itu tak kekal lama, bila Datin Latifah tiba-tiba saja muncul di depan mata.
“Lea, dari tadi Safraa telefon tak henti. Mummy risau ada kecemasan aje. Nak jawab tak?” aju Datin Latifah, membuatkan duduk Leandra langsung jadi tegak.
“Safraa telefon?”
Datin Latifah angguk.
“Panggilan tak dijawab pun dah lebih 30 kali, Lea..”
ujar Datin Latifah lagi.
“Kejap, Lea telefon Safraa balik.”
“Tapi majlis tak selesai lagi ni..” Datin Latifah mengingatkan.
“Tak apa, mummy. Yang penting Ib dah selesai lafaz akad. Kejap ya, mummy? Lea minta diri sekejap.” Leandra bangun lalu ambil telefon daripada tangan Datin Latifah.
Sebaik saja berada di ruangan dapur, nombor Safraa didail.
“Lea.. Lea, kita ada masalah besar!” Tak sempat bagi salam, suara cemas Safraa dah mula buat Leandra rasa tak sedap hati.
“Kenapa, Saf?”
“Dijah terlepas!”
“Hah??” Terjerit suara Leandra.
“Ya, dia terlepas. Aku.. aku cuai, Lea. Dia.. dia dalam perjalanan ke rumah Ib. Dia..” Terputus-putus bicara Safraa.
“Dia apa, Safra??” soal Leandra deras. Hati dah mula diasak rasa tak enak.
“Dia tahu, kau dalang semua ni.”
“Macam mana dia tahu??” Suara Leandra meninggi sedikit.
“Aku minta maaf, Lea. Aku ingatkan waktu Taufiq telefon aku, dia tidur. Rupa-rupanya..” Lalu tangisan Safraa pecah di hujung talian.
Mengendur kedua-dua belah bahu Leandra. Namun Leandra tahu, apa yang terjadi dah tak mampu diundur.
“Dijah.. Dijah nampak muka kau, Saf?” soal Leandra, parau. Dia sudah berjanji yang dia akan menanggung segala akibat daripada rancangannya ini. Takkan sesekali dia libatkan Safraa.
“Tak, aku pakai topeng waktu tu. Aku terpaksa lepaskan dia, sebab dia pegang pisau waktu tu. Lea, maafkan aku..” Safraa mula menangis-nangis.
Leandra pejam mata. Sedut nafas dalam, Leandra hela perlahan-lahan. Waktu itu jugalah kedengaran suara hiruk-pikuk di luar sana.
“Dia dah sampai, Lea..” ujar Leandra pada dirinya sendiri.
Genggam tangan, Leandra cuba kumpul semangat yang bersisa. Langkah diatur perlahan-lahan keluar dari ruangan dapur. Saat dia melihat susuk tubuh Khadijah yang sedang dipeluk Puan Sri Inayah, kedua-dua belah lutut Leandra langsung terasa lembik.
“Kenapa baru muncul, Dijah? Ib dah jadi suami orang. Kenapa lambat?” Suara Ibrar kedengaran parau. Berat dada lelaki itu sebaik saja ternampak susuk tubuh Khadijah yang kelihatan tak terurus.
“Dijah kena culik, Ib. Dijah kena paksa lepaskan Ib. Dan Dijah kenal dengan penculik tu!” Tangisan Khadijah pecah.
“Kena culik? Dijah cuba nak bergurau dengan kami ke?” soal Ibrar. Dada dihempas debar yang menggila.
Khadijah menggeleng.
“Tak, Dijah tak bergurau. Dijah memang diculik. Waktu Dijah telefon Ib, Dijah dipaksa untuk cakap macam tu. Dijah kena paksa batalkan perkahwinan kita.” Khadijah mengongoi lagi.
Ibrar pegang kepala yang tiba-tiba saja memberat.
“Kalau betul Dijah kena culik, macam mana Dijah boleh ada dekat sini?” Rasa macam susah Ibrar nak hadam semua ni. Macam drama tak berbayar.
“Dijah berjaya larikan diri.”
“Ib susah nak percaya, Dijah..” Ibrar terduduk di atas kerusi.
“Ib kena percaya Dijah tak berniat nak buat semua ni. Lagipun Dijah kenal dengan penculik tu, Ib. Kita kenal!” tekan Khadijah, menyebabkan wajah Ibrar langsung terpanggung.
‘Kita kenal?’
“Siapa?” Sepatah ditanya Ibrar.
Kala itu, sepasang mata Khadijah meliar. Saat nampak satu susuk tubuh milik Leandra, jari telunjuk Khadijah melurus ke wajah Leandra.
“Dia,” jawab Khadijah, menyebabkan beberapa pasang mata tertumpu ke wajah Leandra.
Leandra rasa hendak tumbang.
“Maksud Dijah, Leandra? Macam mana dia nak culik Dijah, kalau dia ada dekat sini? Jangan menuduh, Dijah..” Puan Sri Inayah menyampuk.
“Dijah tak tipu. Leandra upah orang untuk culik Dijah. Leandra, kawan baik Ib sendiri yang culik Dijah. Dia memang perempuan jahat. Dia gilakan Ib, sampai sanggup buat semua ni pada kita!” Khadijah beremosi.
Ibrar tak cakap banyak. Bangun, Ibrar terus menapak mendekati Leandra. Sebaik saja berdepan dengan si isteri, Ibrar paut dagu Leandra sedikit kasar.
“Jawab soalan saya dengan jujur, Lea!” Nada suara Ibrar serius.
Leandra menikus. Bibirnya digigit kuat.
“Betul ke semua ni rancangan awak?” soal Ibrar, sejurus membuatkan air mata Leandra jatuh setitis ke p**i.
“Ib..”
“Ya atau tidak? Itu aje yang saya nak tahu!” jerkah Ibrar, tak mahu buang masa.
Pejam mata, Leandra hela nafas panjang.
“Lea minta maaf. Lea buat semua ni sebab.. Lea cintakan Ib. Terlalu cinta..” Lalu jawapan itu sudah cukup meretakkan jiwa seorang suami. Terundur beberapa tapak kaki Ibrar ke belakang.
“Perempuan tak guna!” cemuh Ibrar, bagaikan belati tajam menikam jiwa seorang Leandra.
Pedih.
Perit.