Informasi & Viral Video

ROMBAKAN KABINET UNDANG KERESAHAN, RAKYAT PERSOAL HALA TUJU SEBENAR - HAMZAHRombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Ment...
18/12/2025

ROMBAKAN KABINET UNDANG KERESAHAN, RAKYAT PERSOAL HALA TUJU SEBENAR - HAMZAH

Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam mengundang pelbagai maklum balas serta keresahan rakyat, termasuk persoalan terhadap hala tuju sebenar perubahan pentadbiran tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman itu dibuat, pelbagai pihak membangkitkan rasa curiga sama ada rombakan tersebut didorong tekanan politik atau sekadar habuan kuasa, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Menurut Hamzah, persoalan tersebut adalah berasas, khususnya apabila kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah kini dikuasai oleh satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pada masa sama, ujarnya, perubahan membabitkan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menjadi tunjang kepada pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang majoritinya Bumiputera perlu diperjelaskan secara telus.

Hamzah turut menyuarakan kebimbangan apabila menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan dalam Kabinet, selain pelantikan individu baharu yang latar belakangnya turut dipertikaikan.

"Rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi mesti menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan, sebarang keputusan pentadbiran yang dibuat akan memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara, justeru ia perlu berlandaskan kepentingan awam serta tadbir urus yang berintegriti.

HANNAH MAHU TUMPU KURANGKAN INSIDEN BANJIR DI WILAYAH PERSEKUTUANMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan...
17/12/2025

HANNAH MAHU TUMPU KURANGKAN INSIDEN BANJIR DI WILAYAH PERSEKUTUAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang baharu dilantik, Hannah Yeoh, meletakkan keutamaan bagi memastikan Wilayah Persekutuan ditadbir dengan ketelusan dan kepekaan terhadap realiti hidup rakyat termasuk mengurangkan insiden banjir.

Hannah yang ditukar portfolio daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui rombakan Kabinet semalam, berkata ia termasuk penambahbaikan perkhidmatan asas kerajaan, pembangunan yang mampan dan kawasan rekreasi dilindungi.

"Kepercayaan yang diberikan ini adalah satu tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan penuh komitmen, integriti dan keazaman.

"Ia adalah bagi memastikan tadbir urus Wilayah Persekutuan terus diperkukuhkan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI serta tuntutan rakyat yang mahukan perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Hannah berkata, sebagai Ahli Parlimen Segambut yang berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau memahami secara dekat cabaran, keperluan serta aspirasi warga Wilayah Persekutuan.

Justeru, beliau komited untuk terus membabitkan pemegang taruh melalui libat urus yang menyeluruh khasnya Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana mereka mewakili suara rakyat yang perlu didengari dalam setiap proses pembuatan dasar.

"Sebelum ini, saya berpeluang berkhidmat bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri) dan pengalaman terbabit membentuk kefahaman saya mengenai nilai amanah, kepimpinan berteraskan kebajikan rakyat serta disiplin perkhidmatan awam yang kini saya teruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan di Facebook.

PAS KHUATIR ROMBAKAN KABINET STRATEGI KUKUHKAN DOMINASI DAPPAS khuatir pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina bagi portf...
17/12/2025

PAS KHUATIR ROMBAKAN KABINET STRATEGI KUKUHKAN DOMINASI DAP

PAS khuatir pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina bagi portfolio Wilayah Persekutuan hanya percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur mahupun pusat bandar utama di negara ini.

Ini selepas rombakan Jemaah Menteri yang menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan wakil rakyat Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.

Menurut Takiyuddin, langkah itu dilihat bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar urban serta pengurusan tanah dan perumahan tanpa proses semak imbang berkesan dan telus.

"Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, apatah lagi dengan adanya inisiatif kontroversi seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB).

"Akta itu dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, dikhuatiri ia akan melebarkan jurang sengketa antara masyarakat dan wilayah yang akhirnya membawa kepada kelunturan nilai kesatuan kebangsaan dalam jangka masa panjang.

NETIZEN HAIRAN LAPORAN IIC GAGAL KENAL PASTI 'TANGAN MISTERI' PALSUKAN DOKUMENDapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) ...
17/12/2025

NETIZEN HAIRAN LAPORAN IIC GAGAL KENAL PASTI 'TANGAN MISTERI' PALSUKAN DOKUMEN

Dapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang tidak dapat mengenal pasti pihak terlibat memalsukan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya mencetuskan reaksi hairan dan sindiran dalam kalangan netizen yang mempersoalkan keberkesanan siasatan dijalankan.

Di media sosial, rata-rata pengguna menyuarakan ketidakpercayaan terhadap dapatan siasatan itu, dengan sebahagian berpendapat kes berkenaan seolah-olah 'sudah dijangka' akan berakhir tanpa pihak dipertanggungjawabkan.

Seorang pengguna, berkata secara sinis menyatakan orang ramai sebenarnya sudah lama mengetahui apa yang berlaku, namun enggan bersuara kerana bimbang berdepan akibat tertentu.

Untuk rekod, laporan setebal 59 muka surat IIC menyatakan kegagalan mengenal pasti pihak terlibat berpunca daripada ketiadaan kerjasama Notari Awam serta ketidakupayaan mengesan ejen pemain, walaupun usaha munasabah telah dilakukan.

Namun begitu, IIC turut mengesahkan wujud kegagalan serius dalam aspek pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran FAM, sekali gus mencetuskan persoalan awam mengenai tahap tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.

Untuk rekod, ICC ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat punca kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran yang menyebabkan badan induk itu dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Isu ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sebelum ini menyatakan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.

THAILAND, KEMBOJA SETUJU HADIR MESYUARAT KHAS MENTERI LUAR ASEAN, ISNIN INIDatuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat K...
17/12/2025

THAILAND, KEMBOJA SETUJU HADIR MESYUARAT KHAS MENTERI LUAR ASEAN, ISNIN INI

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan diadakan pada 22 Disember ini akan berlangsung di Kuala Lumpur, bagi membantu meredakan ketegangan konflik di sempadan Thailand dan Kemboja.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat yang dijadualkan itu membolehkan ASEAN bermesyuarat secara kolektif, mengenal pasti fakta sebenar di lapangan serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak supaya menghentikan serangan, bermula dengan gencatan senjata segera.

Katanya, kedua-dua sudah menyatakan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat khas berkenaan.

"Kami merayu supaya mereka segera menghentikan serangan di barisan hadapan dan jika boleh melaksanakan gencatan senjata serta-merta.

"Mereka tidak gemar menggunakan istilah gencatan senjata kerana ia membawa maksud persetujuan. Jadi, jika dilihat kenyataan saya, saya menggesa pihak terbabit supaya mematuhi satu gencatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Perdana Menteri Besama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mesyuarat khas yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguhkan. Difahamkan, penangguhan itu diminta oleh kedua-dua negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan 'arahan' kepada menteri-menteri luar, namun menegaskan pemimpin dan menteri ASEAN sentiasa berhubung secara kerap ketika libat urus diteruskan di pelbagai peringkat.

Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu dibuat susulan rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, selain dimaklumkan mengenai perkembangan isu berkenaan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

"Presiden Trump menelefon dan memaklumkan saya. Saya memberitahu beliau bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan," katanya.

INI ADALAH KABINET PENERUS KEHENDAK RAKYAT - PMPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan barisan Kabinet Ker...
17/12/2025

INI ADALAH KABINET PENERUS KEHENDAK RAKYAT - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan barisan Kabinet Kerajaan Madani yang baharu sebagai penerus kehendak rakyat.

Menurut beliau, ia adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera dan berupaya membuat keputusan berani.

"Keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik," katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Perdana Menteri berkata, setiap anggota Kabinet yang dilantik mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati.

Kata beliau, mereka perlu memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.

LELAKI MILIKI TANDUK RUSA DIJEL 10 BULANSeorang lelaki dihukum penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan sel...
17/12/2025

LELAKI MILIKI TANDUK RUSA DIJEL 10 BULAN

Seorang lelaki dihukum penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah memiliki dua pasang tanduk rusa, iaitu haiwan yang dilindungi di negeri ini.

Tertuduh, Akbar Ahmad, 35, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 4.15 petang, 10 Disember lalu, di sebuah rumah pekerja di kawasan estet di Kinabatangan, di mana dia didapati memiliki dua pasang tanduk rusa, iaitu haiwan daripada spesies yang dilindungi dalam Jadual 3 Nombor 9 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa memiliki apa-apa kebenaran yang sah.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4)(c) enakmen yang sama, iaitu boleh didenda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, menurut fakta kes, dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa telah menemui tanduk rusa itu yang digantung di pintu bilik rumah dan dinding ruang tamu rumah suspek.

Kedua-dua tanduk rusa itu kemudian dirampas dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

ROMBAKAN KABINET GAGAL, REFORMASI TERKUBUR - PASPas mengkritik pengumuman rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, ...
16/12/2025

ROMBAKAN KABINET GAGAL, REFORMASI TERKUBUR - PAS

Pas mengkritik pengumuman rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rombakan itu gagal menunaikan janji reformasi yang pernah dilaungkan Perdana Menteri.

Menurutnya, pengumuman itu seolah-olah mengesahkan bahawa jawatan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan kekal.

"Kabinet baharu akhirnya diumumkan. Perdana Menteri masih memegang jawatan Menteri Kewangan.

"Janji penting 'reformasi' akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah," katanya menerusi satu kenyataan. - Utusan Online.

GRS KEMUNGKINAN BESAR TAK TANDING PRK DUN LAMAG, PARLIMEN KINABATANGAN - HAJIJIGabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkina...
16/12/2025

GRS KEMUNGKINAN BESAR TAK TANDING PRK DUN LAMAG, PARLIMEN KINABATANGAN - HAJIJI

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan besar tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu masih akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan berkenaan, namun pendirian awal GRS adalah untuk memberi laluan kepada parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum ini.

"Saya ingat kita akan bincang dalam GRS, tetapi saya ingin nyatakan kemungkinan besar kita tidak akan bertanding.

"Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan mereka dalam kerajaan negeri sekarang," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di Kta Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perbincangan daripada pihak GRS adakah akan mengemukakan calon di dua kerusi yang ketika ini kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Seri B**g Moktar Radin.

Tambah Hajiji, GRS bersedia membantu parti terbabit bagi memastikan kemenangan dalam PRK tersebut, selain mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

"Kita akan bantu mereka untuk memenangi pilihan raya kecil itu. Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Itu yang kita mahu bincang (untuk dua kerusi), tetapi prinsipnya kita akan bagi laluan," katanya.

Address

Petaling Jaya
47830

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Informasi & Viral Video posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share

Gambaran keseluruhan InfoMalaysia & Viral Video.

Halaman ini dicipta pada Februari 2018 dengan nama 'InfoBerguna' kemudian ditukar kepada 'InfoMalaysia & Viral Video' pada Jun 2019. Semua pengikut halaman wajib tahu bahawa halaman ini bukan perwakilan rasmi walaupun ia mengunakan kata kunci nama ‘infoMalaysia’ yah. Kini halaman kami lebih banyak berkongsi video lucu, komedi, challenge, viral dan video travel yang menarik. Video-video yang dikongsi dalam halaman ini kami cipta sendiri sebagai 'pencipta video' dan content video dari sumber lain yang di sunting secara kreatif dengan menitik beratkan keasliannya. Untuk pengetahuan semua halaman ini juga turut berkongsi video berkaitan peralatan atau perkakas pertukangan terbaru, canggih dan kreatif, namun perkongsian tersebut hanya sekadar pengetahuan dan bukan untuk dijual melalui halaman ini. Kami juga turut berkongsi kisah artis tempatan dan sedikit Informasi semasa yang dipetik dari pelbagai sumber, pembaca disarankan mencari rujukan lain sekiranya ragu-ragu dengan maklumat yang kami sampaikan. Segala komen dan pandangan yang dilontarkan pembaca melalui halaman ini tidak mempunyai kaitan dengan pendirian pihak kami, disifatkan komen tersebut adalah pandangan peribadi mereka sendiri. Segala risiko dan akibat yang terhasil melalui komen tersebut adalah tanggungan dan bebanan mereka sendiri. Sekiranya anda ada pertanyaan mengenai halaman ini, sila hantar pertanyaan kepada pihak kami di massenger atau whatsapp kami secara terus. Sekali lagi kami ucapkan ribuan terima kasih kerana menonton, like, follow dan berkongsi kiriman video kami, kesetiaan anda sangat bermakna bagi kami untuk menambah semangat memghasilkan video dan info yang lebih bermanfaat.