06/01/2023
KEMENANGAN EPIK DAN DRAMATIK, MEMORABILIA 2022 HARIMAU SELATAN
Tahun 2022 telah meninggalkan kita dengan 1001 memorabilia indah. Musim panjang yang sentiasa dikenang sebagai musim yang begitu mencabar namun penuh dengan warna warni buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menyelongkar retrospeksi sepanjang musim 2022, berikut adalah antara perlawanan yang pasti diingati khususnya bagi penyokong-penyokong setia Harimau Selatan;
30 APRIL 2022, SELAMANYA TERPATERI DALAM INGATAN
30 April 2022. Selamanya akan menjadi ingatan. Epik, dramatik dan menakjubkan. Sehingga kini masih lagi terbayang gol emas berpunca dari hantaran lintang Arif Aiman Hanapi yang ditampan ke gawang oleh Park Yong-Woo pada minit ke-94 lantas mengesahkan eksplorasi Harimau Selatan diteruskan ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.
Lebih 17,000 penyokong yang hadir menjadi saksi kepada peristiwa menakjubkan dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Johor. Bukan sekadar retorik, pada detik tersebut, setiap penyokong yang hadir pastinya akan merasa satu kegembiraan yang melepasi paras logikal. Meraikan kejayaan JDT menumpaskan gergasi Asia Ulsan Hyundai FC 2-1 pada petang itu p**a merupakan satu kepuasan paling maksima dirasakan sepanjang kempen kejohanan tertinggi di Asia itu berlangsung.
Rentetan kemenangan ke atas Juara K-League 2022 tersebut, JDT mengungguli Kump**an I dengan mengutip 13 mata secara keseluruhan. Paling menarik, Harimau Selatan berjaya mengetepikan cabaran dua lagi kelab terkemuka Asia yang lain iaitu Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC lantas merekodkan pencapaian paling terbaik sejak debut pertama JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 4 tahun lalu.
FENOMENA FORESTIERI, REKAYASA KEMENANGAN DRAMATIK
11 Mei 2022 menjadi antara perlawanan musim 2022 yang tidak dapat dilupakan. Dalam aksi LS8 JDT menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Paroi, Seremban, Fernando Forestieri mengecewakan lebih 25,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol dramatik pada minit ke-111. Paling menarik, rembatan jarak jauh yang mencetuskan jaringan spektakular tersebut juga telah mendapat perhatian agensi sukan terkemuka British, Sky Sports Football. Kemenangan 0-1 keatas Negeri Sembilan FC itu telah meletakkan JDT kembali merampas kedudukan teratas liga.
15 Julai 2022, ketika berlangsungnya perlawanan LS10, JDT turun dengan reputasi pendahulu Liga Super Malaysia 2022. Pada minit ke-19, JDT terlebih dahulu ketinggalan 1 jaringan kepada skuad Sabah FC sebelum Fernando Forestieri menyamakan kedudukan pada minit ke-26. Pada minit ke-95, sepakan percuma Fernando Forestieri dari luar kawasan penalti telah mendeduksikan kemenangan epik 1-2 JDT dihadapan lebih 30,000 penyokong Sabah FC.
JARINGAN BERKELAS DUNIA ARIF AIMAN DAN BERGSON DA SILVA MENUTUP TIRAI LIGA SUPER MALAYSIA 2022
1 Oktober 2022, JDT mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada aksi LS18 di Stadium Sultan Ibrahim. Kemenangan itu juga telah mengesahkan JDT selaku juara Liga Super Malaysia edisi ke-19 lebih awal.
Pada 15 Oktober 2022 dalam aksi terakhir LS22 Liga Super Malaysia, JDT telah mencatat kemenangan 3-0 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim. Paling menarik, kemenangan itu disertakan bersama jaringan berkelas dunia Arif Aiman pada minit ke-38 melalui sepakan percuma dari luar kawasan kotak penalti dan jaringan akrobatik Bergson da Silva pada minit ke-55 lantas menoktahkan secara rasmi kempen Liga Super Malaysia bagi musim 2022.
Secara konseptualnya, selain dimahkotakan sebagai juara bertahan 9 musim berturut-turut sejak musim 2014, JDT unggul mencatat rekod tanpa sebarang kekalahan buat kali ketiga selepas melakukannya pada musim 2016 dan 2020.
Akhir kata, tetapkan pandangan, tekadkan keazaman. Teruskan memburu sejarah baharu Harimau Selatan!
Merah tak kabur, Biru tak luntur!
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor