14/03/2023
Lemas dalam kolam air panas
(Gambar & Berita: Sinar Harian) / 26 Januari 2013
BENTONG – Kegembiraan dua warga emas berkunjung ke kolam air panas sebagai rutin mingguan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika berendam kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.
Mangsa Lee Kam Seng, 78, datang ke kawasan ini bersama rakan baiknya Ah Lee, 67, kira-kira jam 4.20 petang seperti kebiasaannya untuk berendam di kolam berkenaan.
Ah Lee berkata, lebih kurang 20 minit berendam dalam kolam terbabit, dia mengambil keputusan naik ke daratan manakala Kam Seng terus berendam.
Menurutnya, sebaik kembali semula ke kolam selepas mengganti pakaian, Kam Seng tidak lagi kelihatan berendam di situ.
“Saya ada bertanyakan beberapa orang yang mandi di situ, sama ada ternampak Kam Seng, namun tiada siapa yang melihatnya.
“Saya minta bantuan mereka untuk mencari Kam Seng di dasar kolam namun tidak ditemui,” katanya.
Tidak lama kemudian, mereka melihat tubuh Kam Seng timbul di permukaan kolam dan menaikkannya ke daratan untuk diberi bantuan kecemasan.
Anggota Rela bertugas menjaga kawasan kolam, Mohd Asrul, 31, berkata, selepas mangsa dibawa naik mereka berusaha menyelamatkannya namun tubuh mangsa agak lemah dan akhirnya meninggal dunia.
"Ketika kejadian pengunjung tidak ramai dan kehilangan mangsa dalam air sememangnya tidak disedari sehinggalah dia dibawa ke darat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga.